Hukum Sebenar Pamerkan Diri atau Gambar di Media Sosial



Assalammualaikum semua. Selamat Pagi. Maklumat ni Nunaa dapat malam tadi. Baru sekarang Nuna nak share dengan semua orang. Nuna tahu ada di antara kita yang keliru dan musykil dengan hukum sebenar meletakkan gambar atau mempamerkan diri masing-masing di media sosial. Kawan Nuna semua kata HARAM sebab ternampak dan terjumpa satu artikel daripada Al Habib Umar bin Hafidz. Yes memang HARAM. Tapi ada sebab kenapa Islam letakkan hukum HARAM pada sesuatu hal. Ada sesetengah orang tak berani nak letak gambar sebab takut kena sihir. Tapi bila Nuna tengok ceramah ustaz tu dengan pakar perubatan, pakar perubatan tu cakap macam ni "Buat apa nak takut kene sihir nak letak gambar kat laman sosial? Nak letak, letak je lah! Tak payah takut-takut.." Nuna ingat sampai sekarang. Ustaz Azhar Idrus pun ada pesan, boleh je letak gambar, tapi ada syarat-syarat dan cara yang tertentu.. Tapi ada lagi orang yang keliru dengan hukum sebenar tersebut.




Wednesday, 16 November 2011

Fatimah Syarha at Wednesday, November 16, 2011
Pendakwah Muslimah, Facebook dan Media

Surat Remaja Buat Ustazah

PERSOALAN:
"Salam mahabbah ustazah yang kusayangi kerana Allah. Didoakan agar ustazah sentiasa dirahmati Allah. Saya ada sedikit nak berkongsi dengan ustazah. Saya pernah bertanya pensyarah saya tentang pendapat beliau bagi muslimah yang meletakkan gambar di dalam blog atau facebook. Ada kawan-kawan yang mengatakan saya ni syadid bila saya tidak meletakkan gambar di ruang-ruang facebook atau di dalam blog. Jujurnya pada pendapat saya sendiri, saya tak ingin dikenali oleh muslimin. Bimbang fitnah itu datang dari hanya sekeping gambar, walaupun ganbar itu gambar yang sempurna dengan menutup aurat. Tambahan pula sebagai muslimah, bagi saya perlu menjaga rapi dirinya walau di alam maya. Pensyarah saya melarang kami meletakkan gambar di dalam laman-laman sosial walau untuk tujuan berdakwah kerana bimbang bila ada yang berniat jahat cuba mengambil gambar tersebut untuk menyihir kita..."

BALASAN USTAZAH
Salam sayang buat ukhti. Terima-kasih atas perkongsian. Terasa perkongsian ini lahir dari hatimu yang tulus dan menyayangi diriku ini. Setiap orang mempunyai pendapat. Ustazah hormati. Dan setiap orang tidak berhak memaksakan orang lain terhadap pendapatnya, selagi mana kedua-dua pendapat itu masih di atas garis hukum dan tidak melanggar syariat. Bersabarlah dengan dakwaan kawan-kawan ukhti itu kerana ustazah yakin ukhti mempunyai fatwa hati tersendiri.
Pesan Nabi, “Mintalah fatwa pada hatimu, kebaikan adalah sesuatu yang membuat hatimu tenang dan keburukan adalah sesuatu yang membuat hatimu gelisah. [H.R. Ahmad dan al-Dârimî]

Apakah hukum meletakkan gambar sopan dan menutup aurat di facebook?
Sesetengah orang menempelak muslimah yang berdakwah dengan gambar, drama, filem, buku, ceramah umum, video-video kreatif, facebook, blog dan sebagainya dengan hujah matlamat tidak menghalalkan cara. Persoalannya, apa yang tidak halal dengan cara ini? Adakah ia sesuatu yang disepakati haram oleh semua ulama’?

Perbahasan tentang isu ini dikiaskan dengan perbahasan hukum muslimah membuka wajah. Ianya adalah soal khilaf. Jumhur ulama mengatakannya harus. Keharusan itu terpakai kepada semua bentuk samada muslimah berada dalam surat khabar, kulit buku, video, televisyen dan sebagainya.
Syeikh Yusuf al-Qaradhawi berkata, “Saya ingin jelaskan sebuah hakikat yang pada dasarnya sudah jelas, sebuah hakikat yang telah dikenal di kalangan ilmuan, iaitu perkataan tidak wajibnya penutup muka dan dibolehkannya membuka wajah dan kedua tapak tangan dari anggota wanita di hadapan lelaki. Ini adalah pendapat majoriti ulama fiqh sejak zaman sahabat.” Pendapat ini berdasarkan dalil-dalil syariat dan riwayat dari para sahabat(atsar), dan bersandarkan kepada pandangan dan perbandingan akal sihat serta diperkuat pula oleh kenyataan yang berlaku pada zaman keemasan umat ini. (Rujuk buku Wanita Dalam Fiqh al-Qaradhawi)

Hal ini bergantung juga kepada niat. Urusan niat seseorang adalah urusannya dengan Allah. Terpulanglah samada kita memilih untuk berbaik sangka dengan niatnya atau berburuk sangka dengan niatnya itu, semuanya bakal dihisab Allah. Kutukan-kutukan berupa sengaja ingin dipuji, sengaja nak tunjuk cantik dan sebagainya itu, semuanya akan diadili oleh Allah SWT samada benar atau tidak. Pesan Allah SWT di dalam al-Quran, “Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah sebahagian besar dari sangkaan-sangkaan, kerana setengah dari sangkaan itu ada mengandungi dosa.” (al-Hujurat : 12)

Sesuatu Yang Harus Ada Kebaikan dan Keburukan.
Tabiat sesuatu yang hukum asalnya adalah harus, mempunyai kebaikan dan keburukan. Kita berhak mempertimbangkan mana yang lebih mendatangkan banyak kebaikan dan mana yang lebih banyak mendatangkan keburukan. Contohnya, makan kek yang manis adalah harus. Kebaikan kek ialah ia boleh mengembirakan orang pada hari-hari istimewa kerana rasanya yang sedap. Keburukannya pula, ia boleh memberi risiko kegemukan, kencing manis dan sebagainya. Maka, bolehkah kita melarang orang memakan kek? Ataupun, bukankah lebih hikmah jika kita tidak menghalang orang makan kek, sebaliknya, memberi panduan bagaimana berpada-pada makan kek dengan aturan dan caranya yang sesuai.

Luaskan yang Halal, Sempitkan Yang Haram.
Dr. Yusuf al-Qaradhawi mengatakan, di antara kemudahan yang diperlukan dalam fiqih ialah mempersempit dan tidak berlebihan dalam menetapkan taklif (beban) hukum kepada manusia, terutama dalam hal yang berhubungan dengan wajib dan haram. Kerana kita tidak diperbolehkan untuk memperluas yang wajib dan haram tanpa dalil, melainkan kita harus menetapkannya dengan ketetapan nas yang sahih dan sharih (jelas) atas diwajibkannya yang wajib dan diharamkannya yang haram, atau dengan qiyas (bandingan terhadap sesuatu yang serupa, contoh dadah di qiyas dengan rokok) yang jelas illat nya (sebab) terhadap nas.

Daripada ajaran al-Quran dan as-Sunnah, Islam benar-benar memperhatikan dalam mempersempit perintah dan memperluas “kawasan yang dimaafkan” kerana berasa kasihan kepada para mukallaf (orang yang memikul tanggung jawab), bukan kerana lupa. Firman Allah SWT, “Wahai orang-orang beriman, janganlah kamu menanyakan (kepada Nabimu) hal-hal yang jika kamu menanyakan di waktu al-Quran itu sedang diturunkan, nescaya akan diterangkan kepadamu. Allah memaafkan (kamu) tentang hal-hal itu. Allah maha pengampun lagi maha penyantun. (Al-Maidah: 101).

Rasulullah SAW bersabda, “Orang Muslim yang paling besar dosanya adalah orang yang bertanya tentang sesuatu yang tidak diharamkan, lalu hal itu menjadi diharamkan gara-gara pertanyaannya.” (Muttafaqun a’laih ). Berdakwah Dengan Kemajuan Teknologi. Berbalik kepada isu meletakkan gambar muslimah di facebook, spesifiknya gambar sopan dan menutup aurat, ustazah hormati muslimah yang tidak melakukan hal ini. Begitu juga muslimah yang tidak mahu terlibat dengan dakwah melalui video, ceramah umum, televisyen dan sebagainya. Mereka berhak mempunyai hujah dan fatwa hati tersendiri.

Ustazah pula mempunyai hujah dan fatwa hati ustazah tersendiri. Ustazah tertarik dengan kata-kata Dr. Yusuf al-Qaradhawi apabila beliau membahaskan tentang harusnya muslimah membuka wajah, beliau berkata, " Menjaga kemaslahatan dakwah lebih penting dari apa-apa yang dia berjaga-jaga kerananya.”

Risiko kemungkinan disihir bukan hanya terjadi kepada muslimah yang meletakkan gambar di facebook semata-mata malah kepada setiap manusia. Perisainya ialah hidup dengan cara hidup Islam dan melazimi zikir-zikir terpilih daripada al-Quran dan as-Sunnah. Risiko difitnah pula bukan hanya terjadi kepada muslimah yang meletakkan gambar di facebook semata-mata malah kepada setiap manusia. Perisainya ialah terus hidup dalam tarbiah (suasana mendidik) dan tetap berdakwah,
insya-Allah sekalipun difitnah, akan dibela Allah SWT.

Zaman Berubah, Pemikiran Wanita juga Boleh Berubah Selagi Dalam Batas
Di antara kaedah yang disepakati dan tidak diperdebatkan ialah fatwa boleh berubah dengan berubahnya zaman, tempat, kebiasaan dan keadaan. Dr. Yusuf al-Qaradhawi berkata, “Saya berkeyakinan, zaman kita sekarang telah memberi wanita banyak peluang dan kesempatan yang mengharuskan kita untuk menyusun kembali pemikiran-pemikiran kita yang memudahkan wanita untuk membentuk keperibadiannya.”

Beliau berkata lagi, “Di dalam kitab Al-Ijtihad fi Asy-Syariah al-Islamiyyah, saya menyebutkan, saya menganjurkan wanita yang bergerak dalam bidang dakwah hendaklah tidak mengenakan penutup wajah. Alasannya agar tidak menjadi penghalang komunikasi antara dirinya sebagai da’i dan masyarakat sebagai objek dakwah.”

Bagaimana jika lelaki memandang dengan syahwat?
Antara risiko lain bagi wanita yang mendedahkan wajah ialah takut-takut lelaki fasik memandangnya dengan syahwat. Mari kita teliti perbahasan ulama berikut: 

As-Shawi berkata, “Apakah wajib bagi wanita, pada saat lelaki memandangnya dengan syahwat untuk menutup wajah dan tapak tangannya?”
Ibnu Marzuq berkata. “Tidak wajib baginya.”

Perintah menundukkan pandangan dalam konteks ini ditujukan kepada lelaki tersebut. (Wanitapun kena tundukkan pandangan tapi tidak wajib menutup wajah dan mukanya dalam konteks ini). Pendapat ini dikutip oleh Mawwaq dari Qadhi Iyadh. Marzuq membezakan antara wanita cantik atau tidak. Namun, Dr. Yusuf al-Qaradhawi menegaskan, kecantikan seorang wanita adalah suatu yang relatif. Si A mungkin memandangnya cantik tapi si B mungkin memandangnya tidaklah cantik sangat. Lagipun,bagaimana seseorang wanita itu tahu seorang lelaki itu sedang memandangnya dengan nafsu?

Terdapat hadis tentang Rasulullah memalingkan wajah Fadhl bin Abbas daripada memandang seorang wanita dari Khats’am yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas bahawa wanita itu memang cantik. IbnuHazm berkata, “Jika wajah (cantik) itu aurat, tentu Rasulullah memerintahkan wanita itu menutupnya.”

Bolehnya wanita menampakkan wajah tidak bermakna bolehnya lelaki melihatnya. Sebahagian ulama melarang lelaki melihat wanita kecuali pandangan pertama yang tidak disengaja. Sebahagian ulama yang lain pula mengharuskan memandang wajah wanita dengan syarat tanpa hasrat seksual. Jika timbul syahwat dengan memandang wajah wanita ketika itu haram hukumnya memandang wajahnya. Dr.Yusuf Al-Qaradhawi memilih pendapat ini dalam bukunya An-Niqab Lil Mar’ah.

Maslahah Kecil atau Maslahah Besar?
Melihat cantiknya seorang pendakwah wanita dalam media cetak atau elektronik mungkin menyebabkan seorang lelaki terfitnah. Namun, mungkin kehadirannya di arena itu juga menjadi sebab 1000 orang wanita lain mendapat hidayah dengan izin Allah SWT. Mutiara ilmunya, pakaiannya, budi bahasanya dan apa-apa yang dia tonjolkan secara langsung menjadi ikutan, bukan sekadar mendengar teori tanpa gambaran yang jelas. Patutkah kita hanya memikirkan maslahah yang sedikit hingga mengabaikan maslahah yang lebih besar?

Pengalaman hidup saya sendiri ketika di alam remaja, saya dahagakan idola. Saya sedar, idola paling utama ialah Rasulullah SAW. Selain itu, tokoh-tokoh wanita yang masih hidup turut mengesani peribadi saya. Seperti kebanyakan remaja lain, saya ingin melihat idola saya itu berkata-kata secara langsung, berperibadi di depan mata dan menunjukkan contoh dengan perbuatannya. Bukan itu sahaja, saya mahukan gambar idola saya itu disemat di dalam dompet agar saya dapat mencontohinya. Saya bersyukur apabila menemui gambar tokoh pejuang seperti Zainab al-Ghazali. Begitu juga gambar puteri sulung Yusuf al-Qaradhawi, Dr. Ilham dan sebagainya.

Muslimah yang tidak meletakkan gambar di facebook atau meletakkannya, masing-masing ada fatwa hati, dan ada niat suci tersendiri. Masing-masing ada peranan. Masing-masing mempunyai tujuan. Masing-masing mengikut garis hukum dan menutup aurat. Apa yang penting, kedua-duanya saling menghormati, memahami, saling membela, tidak menghukum, tidak saling merendahkan kerana merasa diri lebih baik, tidak berpecah belah dan saling bersatu. Utamakan akhlak, baik sangka dan lapang dada dalam berbincang dan melontarkan pandangan agar keindahan akhlak Islam tersebar mewangi ke segenap alam.



Habis..... So macam mana? Boleh je nak letak janji tutup aurat dengan sempurna. Tak nak letak pun tak apa. Lebih baik tak payah letak.. Hehehehe Terima Kasih Membaca..

No comments:

Post a Comment

➡Terima Kasih Kerana Membaca..
➡Kalau nak tinggalkan sebarang komen,
letak link blog sekali..
➡komen positif je tau..
➡keep blogging
➡Terima Kasih Blogwalking..
➡Datang lagi..